|
Title: IBADAH KORBAN ITU WAJIB (8/10) - Larangan Memotong Rambut, Bulu dan Kuku View count: 306 Rating: 0 (0 ratings) Description: PERKARA-PERKARA YANG SUNNAH Ada beberapa perkara yang disunnahkan bagi mereka yang melakukan korban, antaranya: 1.Semua yang terlibat dengan ibadah korban dilarang dari mencabut, membakar, mencukur atau menggunting rambut dan bulu ari-ari (bulu ketiak, bulu kemaluan, misai, janggut dan semua bulu yang terdapat di tubuh). Dilarang juga dari mematahkan atau memotong kukunya setelah masuk 1 Zulhijjah hingga ke hari dia berkorban. Berkata Imam Asy-Syaukani bahawa hadis-hadis yang berkaitan dengan hadis larangan memotong rambut, bulu ari-ari dan memotong kuku, adalah berpihak kepada pendapat yang menghukum haram. (Lihat: Nailul Authar 5/201) Sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu alaihi wa-sallam: اِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِيْ الْحِجَّةِ ، وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ اَنْ يُضَحَّى ، فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ. Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu hendak berkorban maka hendaklah dia menahan dirinya dari memotong rambut dan kukunya. (H/R Muslim, 1977. Hadis dari Ummu Salamah.) مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ ، فَاِذَا أُهِلَّ هِلاَلٌ ذِي الْحِجَّةِ فَلاَ يَأْخُذْ مِنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ حَتَّى يُضَحَّى. Barangsiapa yang memiliki sembelihan untuk disembelih, maka apabila masuk bulan Zulhijjah maka janganlah sekali-kali memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban. (H/R Muslim.) إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعْرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا Apabila telah masuk sepuluh hari (bulan Zulhijjah) sementara ada antara kamu yang ingin berkorban, maka janganlah ia memotong rambut dan permukaan kulitnya (bulu ari-ari) sedikitpun. (H/R Muslim 1977.) Menurut Imam Nawawi rahimahullah: Maksudnya (dari larangan tersebut) ialah: Dilarang memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting (memotong) rambut sama ada membotakkan (mencukur), memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini (dilarang) memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan. (Lihat: Syarah Muslim 13/138.) Berkata Ibnu Qudamah rahimahullah: Sesiapa yang melanggar larangan ini (menggunting rambut dan memotong kuku pent.), hendaklah memohon ampun kepada Allah dan tidak ada fidyah baginya, sama ada disengajakan atau terlupa. (Lihat: Al-Mughni 11/96.) Adapun hikmah di sebalik larangan ini agar seluruh tubuh badan dibebaskan dari api nereka dan juga mengingati orang yang melakukan ihram di Mekah. 1.Disunnahkan makan daging dari sembelihannya, bersedekah dan menyimpan dagingnya yang lebih: فَكُلُوْا مِنْهَا وَأَطْعِمُوْا الْبَآئِسَ الْفَقَيْرَ. Makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir. (Al-Haj, 22:28.) أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : كُلُوْا ، وَادَّخِرُوْا وَتَصَدَّقُوْا. Bahawa Nabi sallallahu alaihi wa-sallam bersabda: Makanlah (dagingnya), simpanlah (jika ada yang lebih) dan bersedekahlah. (H/R Bukhari 5569. Muslim 197) Tags: ibadat, korban, Author: nasiruddien |