|
Title: Belum Selesai Lagi Masalah Dalaman MCA View count: 104 Rating: 0 (0 ratings) Description: KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Timbalan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata naib presiden parti itu Datuk Seri Liow Tiong Lai telah meminta beliau menyokong hasratnya untuk memegang jawatan tertinggi parti bulan lepas. Pada sidang akhbar di ibu pejabat parti itu di sini, Dr Chua meminta Liow tidak lagi menghantar isyarat mengelirukan dan sebaliknya berterus terang sama ada beliau inginkan jawatan presiden atau timbalan presiden MCA. "Kalau anda mahukan jawatan timbalan presiden sekarang, beritahu saya dengan berterus terang mengenainya dan saya akan berundur. Saya akan beri jawatan itu kepada anda kalaulah tindakan ini boleh menjamin kestabilan dan perpaduan dalam parti. "Saya bersedia melakukannya, tapi nyatakanlah pendirian anda dengan jelas, jangan sekejap begitu dan sekejap begini, jangan asyik ubah pendirian," katanya. Dr Chua berkata selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt lepas, Liow berjumpa beliau tiga kali dan bercakap melalui telefon sekali, bagi meminta beliau menyokongnya menjadi presiden. Liow menyandang jawatan timbalan presiden untuk seketika selepas Dr Chua dipecat daripada parti itu pada Ogos berikutan pendedahan mengenai skandal video seksnya, sebelum jawatan itu dipulangkan kepada Dr Chua oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) minggu lepas. Dr Chua juga membidas tindakan bekas penasihat undang-undang parti itu Datuk Leong Tang Chong, yang membuat kenyataan semalam bahawa jawatan timbalan presiden tidak dipulangkan kepada beliau, dan Dr Chua telah mengelirukan anggota jawatankuasa pusat (CC) pada mesyuaratnya. Beliau berkata perkara itu tidak patut dipertikaikan kerana ia telah diberi penjelasan oleh ROS. Semasa mesyuarat jawatankuasa itu pada 3 Nov, surat ROS tentang perkara itu telah dibaca kepada hadirin, dibahaskan dan dibuat pengundian, dengan 22 anggota CC menerima keputusan ROS, 12 menentang dan empat tidak mengundi, kata beliau. Dr Chua juga mengumumkan bahawa parti itu akan mengadakan dialog Ahad ini yang melibatkan semua pengerusi, timbalan pengerusi dan setiausaha serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita MCA di semua bahagian parti. Dialog selama tiga jam itu akan bertumpu pada persiapan yang perlu dibuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, kedudukan EGM pada 28 Nov ini seperti yang diminta oleh 16 anggota CC, yang mendesak agar pemilihan baru parti diadakan dan cadangan membuka pemilihan presiden dan anggota CC kepada seluruh anggota parti, bukan kepada anggota perwakilan sahaja. Dr Chua berkata beliau juga telah memaklumkan kepada presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan Liow tentang dialog itu. -- BERNAMA Tags: mca, chua, soi, lek, liow, tiong, lai, Author: paskemaman |